Masih
ada di antara anda yang kurang jelas atau tidak pasti penggunaan borang
yang sebenarnya untuk tujuan Akuan Sumpah atau Surat Akuan atau Borang
Sumpah atau SD (Statutory Declaration) @ Akuan Berkanun.
Surat Akuan Berkanun atau Statutory Declaration atau lebih
dimaklumi dengan nama SD adalah dikawal selia di bawah Akta Akuan
Berkanun 1960 (Akta 13). Ada juga orang memanggilnya dengan nama Surat
Sumpah atau Surat Akuan Bersumpah. Apakah nilai sebuah surat akuan atau
SD ini. Bolehkah ianya dijadikan bukti? Bolehkah ianya dijadikan asas
untuk memulakan siasatan? Apakah hukuman yang dikenakan jika surat akuan
itu mengemukakan fakta yang tidak tepat?
Surat akuan lazim digunakan dalam proses perundangan. Banyak pejabat
kerajaan menggunakan surat akuan dalam memproses permohonan tertentu
daripada orang ramai. Antaranya seperti permohonan untuk memasukkan
kaveat mesti dilampirkan dengan surat akuan pengkaveat yang menyatakan
bahawa beliau mempunyai kepentingan yang boleh dikaveatkan di atas tanah
tersebut. Pejabat Tanah juga menggunakan kaedah surat akuan dan laporan
polis dalam memproses permohonan untuk mendapatkan geran hilang. Amanah
Raya Berhad, misalnya menggunakan kaedah surat akuan ini yang mana
mereka akan meminta pemohon yang memohon menggunakan khidmat ARB untuk
membuat surat akuan dalam urusan pentadbiran harta sebelum mereka
memulakan urusan pentadbiran harta pusaka si mati. Begitu juga,
permohonan bagi mendapatkan surat kuasa mentadbir daripada Pejabat
Pembahagian Pusaka Kecil juga menggunakan kaedah yang sama.
Akta Akuan Berkanun 1960 tidak menyatakan apakah kelebihan atau
manfaat yang terhasil daripada sesebuah surat akuan. Ianya hanya
menyatakan kaedah atau format yang perlu digunakan dalam membuat surat
akuan. Sesuatu surat akuan yang tidak mengikut formatnya boleh dicabar
dan ditolak daripada digunakan. Akta tersebut juga menyatakan bahawa
akuan yang dibuat menurut akta tersebut akan disifatkan sebagai akuan
yang dibuat di bawah S. 199 dan 200 Kanun Keseksaan (Akta 574).
S. 199 menyatakan bahawa sesiapa yang membuat kenyataan yang tidak
benar kepada Mahkamah atau penjawat awam boleh diseksa sama seperti jika
beliau memberikan keterangan palsu. S. 200 pula menyatakan bahawa
sesiapa yang membuat keterangan atau akuan palsu secara tidak jujur
boleh diseksa sama seperti seolah-olah ia telah memberikan keterangan
palsu. Di bahagian Huraian S. 200 menyatakan - "Sesuatu akuan yang tidak
boleh diterima sebagai keterangan semata-mata oleh sebab sesuatu yang
tidak menurut peraturan, ialah akuan dalam erti seksyen 199 dan 200."
Ini bermakna, surat akuan yang tidak benar mempunyai implikasi serius di
sisi undang-undang. Hukuman bagi sesiapa memberikan keterangan palsu
adalah terkandung dalam S. 193 Kanun Keseksaan iaitu jika keterangan itu
diberikan dalam peringkat perbicaraan kehakiman boleh dipenjara
sehingga 7 tahun dan denda, manakala dalam hal-hal lain boleh dipenjara
sehingga 3 tahun dan denda.
Pejabat
kerajaan lazimnya menggunakan kaedah surat akuan ini sebagai kaedah
untuk memastikan orang awam yang berurusan dengan mereka hanya akan
mengemukakan fakta yang benar. Jika ada fakta yang tidak tepat
diberikan, maka orang tersebut boleh didakwa atas kesalahan jenayah atas
sebab mengemukakan fakta yang tidak betul. Jika perkara tersebut
diketahui, maka pegawai kerajaan itu akan membuat laporan polis dan
polis akan menyiasat samada fakta yang dinyatakan di dalam surat akuan
tersebut adalah benar atau palsu. Setelah itu, pegawai polis itu akan
menyerahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan sama
ada akan mendakwa orang tersebut.
Oleh
sebab itu, fakta yang terkandung dalam sesuatu surat akuan itu dianggap
mempunyai nilai yang lebih kuat daripada penyataan biasa kerana ianya
dikawal selia oleh undang-undang. Bagi pembuat surat akuan, beliau harus
berhati-hati dalam membuat surat akuan kerana jika beliau mengemukakan
fakta palsu, beliau boleh direman dan seterusnya didakwa di Mahkamah
kerana memberikan pengakuan palsu.
Namun,
ramai juga yang teraniaya dengan surat akuan palsu ini. Antaranya
seperti yang dinyatakan dalam kes Boonsoom Boonyanit vs Adorna
Properties Sdn Bhd yang mana dalam kes itu ada seseorang telah menyamar
sebagai Boonsoom dan telah membuat pengakuan palsu bahawa geran tanahnya
hilang. Bertindak atas surat akuan itu, pejabat tanah telah
mengeluarkan geran tanah yang baharu dan penyamar itu telah menjual
tanah itu kepada pihak ketiga. Akhirnya Boonsoom telah kehilangan
tanahnya itu. Begitu juga, jika kita masih ingat kes sodomi 1 yang mana
pemandu DSAI iaitu Azizan telah membuat surat akuan yang didraf oleh Umi
Hafilda yang mengatakan beliau telah diliwat oleh DSAI. Semua orang
telah tahu DSAI telah dibebaskan daripada kes sodomi 1 tetapi surat
akuan itu telah menyebabkan kehidupan dan karier politik DSAI
kucar-kacir. Dalam kes surat akuan Altantuya yang dibuat oleh PI Bala,
sehingga beliau mati, tiada siasatan konkrit yang dibuat terhadap
kebenaran fakta yang dibuat oleh PI Bala itu, tetapi surat akuan PI Bala
itu telah mencetuskan polemik besar kepada Perdana Menteri. Kita
sendiri tidak pasti kenapakah pihak polis tidak menyiasat surat akuan PI
Bala ini. Dalam kes, Danaharta Managers Sdn Bhd vs Samaworld (Asia) Sdn
Bhd [2006] 2 MLRH 882, Hakim Dato' Noor Azian Shaari telah menolak
surat akuan yang dibuat bagi memasukkan kaveat kerana surat akuan itu
tidak mendedahkan apa-apa kepentingan yang boleh dikaveatkan dan
akhirnya kaveat itu dibatalkan.
Oleh itu,
bagi saya surat akuan bukanlah boleh dianggap sebagai bahan bukti
kecuali ianya termasuk dalam pengecualian yang dibenarkan oleh
undang-undang seperti 'dying declaration'. Surat akuan itu hanyalah
perspektif daripada pembuatnya bahawa penegasan fakta yang terkandung di
dalam surat akuan itu sebagai mempunyai merit dan beliau sanggup
dihadapkan dengan pendakwaan jenayah jika fakta itu tidak benar. Sesuatu
surat akuan juga bukanlah suatu justifkasi untuk memulakan apa-apa
tindakan undang-undang seperti untuk memecat atau mendakwa seseorang.
Tindakan pemecatan atau pendakwaan hanya akan dimulakan jika kertas
siasatan dibuka. Bagi sebuah syarikat misalnya jika ada pekerja syarikat
yang membuat surat akuan, maka ianya harus diteruskan dengan aduan
rasmi kepada pihak HR syarikat tersebut. Pihak HR akan memanggil pengadu
dan yang diadu untuk mendapatkan keterangan lanjut. Jika perlu, suatu
siasatan dalaman akan dibuat untuk memanggil saksi-saksi dan untuk
pengemukaaan dokumen. Bagi tindakan jenayah, selain surat akuan, suatu
laporan polis atau 'first information report' perlu dibuat.
Manakala, bagi yang berasa diri mereka teraniaya dengan fakta
sesuatu surat akuan harus membuat laporan polis supaya pihak polis boleh
membuka kertas siasatan dan seterusnya mendakwa orang itu. Selain itu,
orang yang teraniaya itu juga boleh memulakan tindakan guaman seperti
tindakan guaman fitnah ke atas pembuat surat akuan tersebut [Lihat PANG FEE YOON v. PIONG KIEN SIONG & ORS [1999]
8 CLJ 383; [1999] 3 AMR 3464; Dalam kes ini, Hakim Suriyadi Halim Omar
telah mengawardkan sejumlah lebih RM900,000-00 terhadap
defendan-defendan kerana fitnah yang berbangkit daripada surat akuan
tersebut]
Seperkara
lagi,
dalam Islam, kaedah surat akuan ini tidak ada. Dalam Islam, kaedah yang
digunakan adalah kaedah iqrar atau pengakuan. S. 17 Akta Keterangan
Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta
561) menyatakan
bahawa Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara
bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan bahawa dia mempunyai
obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan
sesuatu hak. Sesuatu iqrar hendaklah dibuat - di dalam Mahkamah, di
hadapan Hakim; atau jika di luar Mahkamah, di hadapan dua orang saksi
lelaki yang 'aqil, baligh dan 'adil.
Bagi seseorang Islam, lebih baik jika beliau menurut kaedah yang
ditetapkan dalam Hukum Syarak kerana itu lebih adil dan lebih amanah.
Kaedah pembuktian dalam Hukum Syarak lebih ketat daripada kaedah
undang-undang sivil. Ada hikmah yang besar daripada kaedah pembuktian
yang ketat di dalam Hukum Syarak. Bagi sesuatu tuntutan yang dibuat di
Mahkamah Syariah, semuanya mesti melalui proses perbicaraan supaya hakim
dapat menilai bukti yang dikemukakan itu. Jika bukti itu samar-samar
atau hanya bukti cakap dengar maka ianya akan ditolak oleh Mahkamah
meskipun ada surat akuan.