Untuk makluman, sekurang-kurangnya hampir 90 billion harta beku yang dituntut dan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu. Permasalahan ini timbul mungkin disebabkan kurang ilmu pengetahuan untuk menguruskannya serta faktor tidak ada kerjasama atau permuafakatan antara waris. Bagi kes yang melibatkan kesukaran mencari atau mengesan waris-waris yang hilang dan difahamkan telah meninggal dunia, kami ada resolusi untuk menyelesaikannya..InsyaAllah.
Kenapa perlu kepada perintah anggapan kematian?
Jika simati tiada rekod kematian di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tiada sijil kematian serta waris-waris tiada maklumat berkenaan tarikh kematian dan tempat pengebumian si mati.
Maka perlu dilakukan satu permohonan bagi mendapatkan perintah anggapan kematian kerana pembahagian harta pusaka tidak boleh dilaksanakan tanpa ada sijil kematian asal.
Anggapan kematian ini hanya firma guaman sahaja yang boleh kendalikan.
Terdapat juga kes di mana jika waris yang berhasrat untuk menganggap waris yang hilang atau tidak dapat dikesan itu telah meninggal dunia berdasarkan bukti-bukti yang dianggap kukuh, mereka juga boleh berbuat demikian.
Permohonan anggapan kematian boleh dibuat oleh individu berikut:
- Ibu atau bapa simati
- Suami atau isteri simati
- Anak kandung atau anak angkat yang sah
- Adik-beradik kandung simati
Dua elemen penting yang perlu dibuktikan oleh pemohon, iaitu:
- Tiada khabar telah didengar mengenai individu tersebut selama sekurang-kurangnya 7 tahun;
- Khabar tersebut perlulah didengar oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup iaitu saudara terdekat atau pun jiran kepada individu tersebut.
Menurut Seksyen 108 AK 1950, tugas untuk membuktikan bahawa seseorang itu telah meninggal dunia terletak ke atas orang yang menegaskan bahawa simati telah meninggal dunia. Ia boleh juga ditafsirkan beban pembuktian Anggapan Kematian adalah berada di atas seseorang yang mempunyai kepentingan terhadap kes tersebut.
Selagi pemohon dapat membuktikan bahawa tiada khabar didengar selama 7 tahun oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya, permohonan tersebut akan diluluskan oleh Mahkamah Tinggi jika didapati tiada sebarang keraguan lain dalam permohonan tersebut.
Di dalam satu kes yang tidak dilaporkan, terdapat sebidang tanah yang dimiliki oleh 10 orang tuan tanah. Keberadaan 9 orang tuan tanah tersebut tidak dapat dikesan. Nama-nama tuan tanah itu hanya dapat dikesan melalui Carian Rasmi di pejabat tanah, namun butiran lain untuk mengesan keberadaan mereka tidak berjaya diperolehi. Anak kepada cicit kepada tuan tanah ke 10 yang juga oneng-oneng "telah membuat iklan untuk mencari waris-waris yang tidak dapat dikesan itu" (sememangnya perlu dilakukan oleh firma guaman).
Walau bagaimanapun usaha tersebut tidak berhasil. Beliau akhirnya membuat permohonan untuk mendapatkan perintah Anggapan Kematian bagi memudahkan beliau menguruskan pusaka melalui saluran yang sepatutnya. Permohonan tersebut telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di mana Y.A. telah berpuashati bahawa tiada khabar berita telah didengari oleh saudara atau kenalan rapat kepada 9 tuan tanah tersebut selama lebih daripada 7 tahun.
Seksyen 18 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) telah menyatakan dengan jelas bahawa kematian tiap-tiap orang yang mati di Malaysia hendaklah didaftarkan kematiannya dengan syarat mayatnya dijumpai. Sehubungan itu, bagi kes individu yang telah diklasifikasikan sebagai telah dianggap mati oleh Mahkamah Tinggi, satu perintah anggapan kematian akan dikeluarkan oleh pihak mahkamah melalui firma guaman.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan mendaftarkan atau mengeluarkan sijil kematian. Walau bagaimanapun, JPN hanya akan mengemaskini maklumat individu yang telah dianggap mati dan waris perlulah menggunakan perintah mahkamah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.