Saya adalah Perancang Harta Pusaka Islam atau IEP (islamic Estate Planner) di bawah As-Salihin Trustee Berhad. Peranan saya adalah membantu mengurus harta pusaka mengikut konteks perundangan Islam atau Syarikah dan perundangan sivil serta instrumen-instrumen yang tepat untuk membantu menyelesaikan permasalahan dan kehendak pelanggan dalam merancang harta mereka dengan efektif.
Antara instrumen di bawah kendalian saya adalah seperti berikut:
- Wasiat
- Pri hibah (Deklerasi hibah)
- Deklerasi harta sepencarian (perjanjian aset perolehan bersama)
- Perkhidmatan pentadbiran harta pusaka

Hibah adalah salah satu instrumen dalam perancangan harta pusaka yang melibatkan pemberian sukarela daripada pemberi kepada penerima yang dilaksanakan atas dasar kasih sayang tanpa mengharap sebarang bentuk balasan. Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita ingini samada waris atau bukan waris. Kesan
daripada hibah, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada harta
pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid.
Berikut adalah kaedah Hibah yang biasa diamalkan:
HIBAH MUTLAK
Di bawah kaedah ini, ia berkuatkuasa serta-merta. Sekiranya penukaran hakmilik sudah dibuat maka ia akan terus menjadi hak si penerima hibah berkenaan. Penerima berhak membuat apa sahaja terhadap hak tersebut termasuk menjual, memajak dan sebagainya. Sekiranya penerima meninggal dunia, ia menjadi milik mutlak waris-waris penerima hibah mengikut hukum faraid walaupun pemberi masih hidup dan dia perlu melepaskan harta tersebut.
Kaedah ini memerlukan proses borang 14A (pindah milik) di Pejabat Tanah dan Duti Setem di Lembaga Hasil Dalam Negeri.
HIBAH BERSYARAT
Kaedah ini melibatkan akad hibah yang dilafaz semasa hidup tetapi proses pindahmilik harta hibah hanya akan disempurnakan selepas kematian pemberi hibah. Selagi Pemberi Hibah masih hidup, beliau masih boleh memanfaatkan harta tersebut untuk dirinya sendiri dengan persetujuan penerima hibah. Tetapi sekiranya penerima hibah mati dahulu maka harta hibah tersebut akan kembali semula kepada pemberi hibah. Hibah bersyarat ini dinamakan Ruqba.
Sebagai contoh: Seorang bapa menghibahkan 10 ekar kebun sawit kepada 7 orang anak-anaknya. Akad pemberian dan penerimaan hibah telah dibuat secara bertulis. Walaubagaimanapun, pindahmilik hanya boleh dibuat selepas kematian bapa. Selagi bapa itu hidup, bapa masih boleh menikmati hasil dari kebun sawit tersebut dan anak-anak tiada hak untuk buat apa-apa ke atas tanah tu selagi bapa hidup.
Hibah cara ini lebih menjaga kepentingan dan keharmonian kedua-dua pihak. Banyak kes yg berlaku, bila ibubapa dah hibahkan rumah kepada anak, ibubapa tersebut dihalau keluar dari rumah. Malah rumah dijual walaupun ibubapa masih hidup dan masih tinggal di rumah tersebut.
Hibah bersyarat masih belum popular dan aplikasinya masih belum secara meluas akibat ketiadaan kanun atau undang2 khusus berkenaannya. Walau bagaimanapun, hibah bersyarat telah banyak diterima dan disahkan di Mahkamah Syariah melalui Perintah Pengesahan Hibah berdasarkan ijtihad hakim, hujah para peguam dan mengambil kira maslahat umum berdasarkan sumber pendapat fuqaha’ yang muktabar. Hakikatnya di Malaysia konsep hibah ruqba sudahpun berjalan dan digunapakai oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi akaun bersama semenjak 2003 manakala bagi Hibah Takaful di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yg sudahpun mengkanunkan hibah ruqba.
HIBAH AMANAH
Hibah Amanah ialah
pemberian harta oleh Pemberi Hibah semasa hidupnya kepada Penerima Hibah atas
dasar kasih sayang dan sukarela, tanpa paksaan dan tanpa mengenakan sebarang
balasan dan berlakunya akad ijab dan qabul di antara Pemberi Hibah dan Penerima
Hibah di mana Harta Hibah tersebut akan dipegang oleh Pemegang Amanah dan akan
diserahmilik kepada Penerima Hibah selepas kematian Pemberi Hibah..
Pemberian hibah amanah ini tidak tertakluk kepada hukum
faraid maka sesiapa sahaja layak menerima harta hibah. Harta yang telah
dihibahkan dengan cara yang sempurna tidak boleh dituntut oleh waris2 lain
mengikut hukum faraid. Maka pemberian hibah ini boleh menjadi sebagai
alternatif penyelesaian bagi pembahagian harta kepada anak angkat, mualaf atau
mereka yang tidak mempunyai waris lelaki atau waris asobah.
Dokumen hibah seperti surat ikatan amanah dan pengisytiharan hibah yang diproses perlu mendapat pengesahan mahkamah syariah dan mahkamah sivil dengan kehadiran dua orang saksi. Tuan/Puan dinasihatkan supaya TIDAK menggunakan dokumen sekadar Surat Akuan yang ditandatangani oleh Pesuruhjaya Sumpah sahaja kerana ia belum mencukupi dan tidak sah dari segi undang-undang.
Tapi masih ramai yang tidak tahu cara untuk menyediakan sebuah dokumen pewarisan harta yang lengkap dan sah di sisi undang-undang syarie mahupun sivil. Maka sebagai permulaan, kami telah bersedia untuk mengendalikan perkhidmatan Hibah dengan dibantu Peguam Syarie yang berpengalaman luas dalam bidang tersebut. Jika tuan/puan untuk memerlukan khidmat nasihat atau keterangan lanjut, sila hubungi di talian seperti telah dinyatakan.

Anda boleh menentukan sendiri siapakah di antara waris anda yang akan menerima harta dan berapakah bahagian yang akan diterimanya. Harta yang telah dihibahkan terkeluar dari harta pusaka dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana waris. Anda boleh memberikan harta anda kepada sesiapa pun yang dikehendaki. Penerima Hibah tidak terhad kepada waris sahaja malah boleh diberikan kepada sesiapa pun walaupun berlainan agama.
Anda boleh terus menikmati manafaat fizikal atau ekonomi dari harta tersebut walaupun ia telah dihibahkan.
Anda boleh menarik balik Hibah tersebut pada bila-bila masa sekiranya ia dibuat kepada anak-anak, cucu atau cicit kandung.
Nama anda KEKAL di dalam geran hartanah/saham syarikat selagi anda masih hidup. Pindah milik hanya dibuat selepas kematian.
GOLONGAN YANG KRITIKAL YANG MEMERLUKAN HIBAH
- Pasangan suami isteri yang tiada anak
- Pasangan yang mempunyai anak perempuan sahaja
- Pasangan yang mempunyai anak angkat sahaja
- Individu yang berpoligami
- Mempunyai anak perempuan & lelaki yang nak bahagikan sama rata
- Individu yang tidak berkahwin
- Individu yang berkahwin semula selepas kematian pasangan asal
- Suami isteri yang membeli harta secara bersama
- Pasangan yang mempunyai anak OKU
- Pasangan yang ingin membahagikan harta kepada sesiapa yang diingini